PENGENALAN

Pengenalan

Salah satu bukti atau bahan yang boleh dijadikan rujukan terhadap sesuatu bangsa ialah karyanya. Hal ini demikian kerana sebuah karya adalah cerminan bangsa yang menjadi latar dalam karya tersebut pada waktu karya itu dihasilkan. Sebuah karya adalah seperti rakaman yang mencatatkan perihal masyarakat dan  perlakuannya. Karya yang ketika dihasilkan mungkin hanya bertujuan sebagai hiburan atau sebagai hobi  untuk mengisi masa lapang, tidak mustahil akan menjadi rujukan pada masa hadapan. Hal ini demikian kerana, apabila sesebuah masyarakat itu tidak lagi wujud, hanya karya yang menjadi tinggalan sebagai bukti kewujudan mereka serta aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh mereka. Lazimnya, sesebuah karya akan merakam kehidupan sesebuah masyarakat walaupun tidak secara khusus tetapi cukup untuk mengidentitikan masyarakat tersebut. Karya-karya hebat akan bertahan dalam jangka masa yang lama sehingga boleh diteliti oleh generasi yang akan datang selepasnya. Karya hebat seperti ini disebut sebagai karya agung.       

            Selain itu, karya agung Melayu ialah karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis, dan pemikir bangsa Melayu pada zaman dahulu dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral, dan visi bangsanya. Kesemuanya itu digambarkan dalam bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam minda kolektif bangsa Melayu. Tamadun Melayu banyak terbentuk daripada tradisi sastera agung ini. Karya agung Melayu bererti karya yang ditulis atau diungkapkan dalam bahasa Melayu. Karya-karya ini termasuklah pepatah, pantun, penglipur lara dan lain-lain. Ia tidak mengambil kira kelompok bangsa atau etnik dalam kawasan dunia Melayu ini sama ada orang semenanjung Tanah Melayu, Brunei, Aceh, Bugis, Minangkabau dan lain-lain. Sempadan geografi tidak menjadi persoalan, sebaliknya pemikiran yang mampu dicetuskan dalam bentuk dan gaya yang luar biasa, sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu turun-temurun itu yang diutamakan.
                                                 
            “Karya” menurut Kamus Dewan Edisi Keempat membawa maksud buatan atau ciptaan sesuatu. Manakala “Agung” pula membawa maksud paling besar, terutama, tertinggi, teristimewa dan terkemuka. Maka dengan ini karya agung boleh diertikan sebagai ciptaan atau buatan yang terutama, tertinggi dan teristimewa daripada seseorang pengarang.

                                                                                                                       
      Karya agung Melayu merupakan karya yang melambangkan keunggulan daya cipta atau hasil kreativiti seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu pada zaman dahulu dalam menggambarkan idealisme, nilai pandangan hidup, adat, budi, kesedaran dari segi agama dan moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk-bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga mampu untuk meninggalkan kesan dari aspek seni, budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalam kehidupan bangsa Melayu. Secara amnya, ketamadunan Melayu amat sekali dipengaruhi dan dibentuk oleh tradisi sastera ini sendiri.                                                                                                                           
            Antara karya-karya Agung Melayu yang terkenal ialah Sulalatus Salatin atau juga dikenali sebagai Sejarah Melayu. Karya agung ini telah dihasilkan oleh seorang tokoh yang berilmu pada zamannya iaitu Tun Sri Lanang. Ia merupakan naskhah tertua yang pernah ditemui dan dikarang di Johor pada tahun 1612 atas titah raja. Episod-episod yang dipaparkan dalam karya ini memberi maklumat penting tentang keturunan raja-raja Melayu serta adat istiadatnya, dan peristiwa-peristiwa bersejarah yang melibatkan kerajaan Melayu Melaka dan tanah jajahannya. Selain itu, Hikayat Hang Tuah yang dikarang sekitar tahun 1641 hingga 1736 yang merupakan satu-satunya epik Melayu yang mewakili bangsa itu sendiri tentang cita-citanya, kebolehannya, dan sikap hidupnya pada suatu zaman. Pengarang mengakhiri karyanya dengan meninggalkan semangat yang kekal dalam minda Melayu hingga hari ini iaitu ‘Takkan Melayu Hilang di Dunia’. Karya-karya agung yang lain adalah seperti Tuhfat al- Nafis, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Acheh, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Abdullah, Syair Ken Tambuhan, Bustan al-Katibin, Hikayat Inderaputera dan Pantun Melayu : Bingkisan Permata.

Selamat membaca :)

            

No comments:

Post a Comment